Sunday, October 18, 2009

MOTIVASI BERSAMA UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG

8 JAM MEMBERI CERAMAH MOTIVASI DAN BERKONGSI ILMU DAN PENGALAMAN BERSAMA PEMIMPIN PELAJAR UMP OLEH EBIT IRAWAN IBRAHIM LEWDIPETIK SEDIKIT DARI BERITA UMP

Oleh : En. Wan Nazrul Helmy bin Wan Mohd. Zain

Penolong Pendaftar Pejabat Naib Canselor



KUALA ROMPIN, 24 Mei - Seramai 43 orang pemimpin pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah mengikuti Kem Transformasi Diri Ke Arah UMP Terbilang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Rompin mulai 21 Mei 2009 lalu.

Para pemimpin pelajar tersebut, yang terdiri daripada Yang Dipertua dan Ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pengerusi badan-badan pelajar yang lain dibimbing oleh perunding motivasi terkemuka, Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah untuk menjalani pelbagai modul menarik berkenaan Transformasi Diri.

Kem Transformasi Diri Ke Arah UMP Terbilang: Sasaran Kumpulan Pemimpin Pelajar adalah kesinambungan daripada pelaksanaan program terdahulu pada awal Mei 2009 di Taman Negara yang melibatkan pegawai-pegawai Kumpulan Pengurusan Kanan UMP anjuran bersama Pejabat Naib Canselor dan Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Excel Training & Consultancy (M) Sdn. Bhd. (Excel).

Selain Dato' Dr. Mohd. Fadzilah, pelaksanaan modul sepanjang kem selama tiga hari itu turut dijayakan oleh Encik Ebit Irawan Ibrahim Lew dan Puan Siti Rohani iaitu perunding motivasi daripada Excel dan penganalisis jenayah terkemuka, Encik Kamal Afendi Hashim.

Majlis perasmian kem tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim pada 21 Mei. Dalam ucaptama beliau yang bertajuk "Wawasan Saya Terhadap Kepimpinan Pelajar UMP", Dato' Dr. Daing Nasir menegaskan bahawa pelaksanaan kem ini haruslah dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi melahirkan generasi pemimpin pelapis negara yang akan memaknakan slogan '1Malaysia' dalam erti kata yang sebenarnya. Dato' Dr. Daing Nasir juga menolak tanggapan negatif yang mengatakan pelaksanaan kem ini untuk pemimpin pelajar sedia ada sebagai tidak perlu.

"Impak daripada pelaksanaan kem ini bukanlah terbatas kepada penggal jawatan anda sebagai pemimpin pelajar, namun apa yang dihasratkan ialah kesan jangka panjang di mana anda akan menjadi anak Malaysia yang bersedia mengupayakan transformasi negara dan alumni yang berjasa kepada UMP, hasil daripada penyertaan dalam kem ini", ujar Dato' Dr. Daing Nasir.

Dato' Dr. Daing Nasir turut berkesempatan untuk berdialog dengan para pemimpin pelajar selepas ucaptama perasmian tersebut.

Yang Dipertua MPP, Saudara Mohd. Sufi Kamari menyifatkan bahawa pelaksanaan kem ini sebagai amat tepat pada masanya. "Saya percaya bahawa pelaburan pihak Universiti untuk mengadakan kem ini adalah satu pelaburan yang menguntungkan. Transformasi yang bermula dari dalam diri akan memangkinkan pula transformasi perdana negara melalui kesedaran warganegara, khususnya generasi muda", tambah Saudara Mohd. Sufi.

No comments:

Post a Comment