DOSA KECIL MENJADI DOSA BESAR
Kita tidak boleh memandang endah tak endah terhadap dosa-dosa kecil yang
kita lakukan kerana ia dapat juga berkembang dan berubah menjadi dosa besar
dengan adanya berbagai sebab iaitu:
1. Kerana dosa kecil itu dikerjakan terus-menerus atau dikekalkan sahaja
mengerjakannya tanpa ada hentinya.
Seperti halnya titisan air yang berulang kali jatuh di atas batu, lama
kelamaan tentulah berbekas pula.Tetapi tidak akan berbekas jika batu itu
dituangi air berapa pun banyaknya dengan sekali tuang!
Dalam soal amal baik, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
"Sebaik-baik amal itu ialah yang terkenal atau yang paling rutin
mengerjakannya, sekalipun hanya sedikit. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Kerana adanya anggapan kecil pada dosa yang dilakukannya.
Jika seseorang menganggap dosa yang dilakukannya besar, maka disisi Allah
dianggap kecil, dan jika seseorang itu menganggap dosa yang dilakukannya
kecil, maka disisi Allah dipandang besar. Sebabnya ialah kerana anggapan
besar itu timbul dari hati yang sebenarnya tidak suka melakukannya atau
ingin menjauhinya. Kalau akhirnya dosa itu dikerjakan juga, hal ini berlaku
sebab hebatnya godaan dan lain sebagainya. Ketidaksukaan melakukan inilah
yang menyebabkan dosa yang dikerjakan sangat sedikit meninggalkan bekas
dalam hatinya.
Sebaliknya jika dosa itu dianggap kecil oleh yang melakukannya, tidak lain
sebabnya ialah kerana hatinya amat condong melakukannya. Kecondongan inilah
yang menyebabkan dosa yang dikerjakanya sangat berbekas dalam hatinya.
Selain itu, sikap memandang kecil akan dosa mempunyai kesan negatif. Orang
menjadi tidak takut lagi untuk berbuat dosa dan kurang peduli terhadap dosa.
3. Kerana dosa kecil itu dilakukan dengan senang hati dan merasa nikmat.
Sebabnya ialah kerana dosa yang dikerjakan dengan gembira dan nikmat, ia
akan terbuku di dalam batin, bahkan juga akan menimbulkan kehitaman yang
amat sangat dalam kalbu. Tidak ada rasa penyesalan dan selalu ingin
mengulanginya kembali. Perasaan berbahgia di dalam dosa satu hal yang sangat
buruk.
4. Kerana dosa kecil itu dilakukan dengan perasaan aman/bebas dari balasan
Allah.
Sebetulnya perbuatan apa pun samada besar atau kecil tidak mungkin terlepas
dari pengawasan Allah. Allah teramat teliti mengawasi segala sesuatu. Hanya
orang yang bodoh/sesat sahaja yang merasa dirinya aman/bebas dari pengawasan
Allah. Walaupun (nampaknya) aman dari balasan Allah, barangkali kerana Allah
memang menangguhkan balasan itu sebagai kemurkaanNya, agar dengan demikian
makin banyak lagi dosa yang dikerjakannya dan akan dibalas di akhirat kelak.
Perasaan aman dari pengawasan/balasan Allah, meyebabkan seseorang itu
berterusan berkecimpung dalam dosa dan noda dan semakin berani melakukanya.
5.Kerana dosa kecil itu diberitahukan atau diperlihatkan kepada orang lain.
Adakalanya dosa itu dilakukan dengan tidak diketahui orang lain, tetapi
kemudian diberitahukan kepada orang lain. Dan ada kalanya pula waktu
melakukannya memang di hadapan orang lain. Orang yang demikian telah
melakukan dua macam pelanggaran. Dosanya kerana melakukan kesalahan dan dosa
memperlihatkan kesalahan kepada orang. Sebenarnya dosa yang dikerjakan
menjadi rahsia dirinya sendiri sebab hanya dia sendiri dan Allah yang
mengetahui. Begitu juga dosa yang sebenarnya dapat dilakukan dengan
diam-diam dengan tidak diketahui orang lain, mengapa dilakukan di muka orang
lain?
Jadi pelanggaranya yang pertama, kerana ia melakukan kemaksiatan itu dan
pelanggarannya yang kedua kerana cara ia melakukan dosanya itu dapat
menggerakkan keinginan buruk orang lain untuk menirunya. Dengan begitu, satu
perbuatan kemaksiatan menyebabkan dua bentuk dosa. Itulah sebabnya dosa
kecil berkembang menjadi dosa yang besar.
6. Kerana dosa kecil itu dilakukan oleh orang alim yang mempunyai banyak
pengikut.
Orang yang alim mempunyai pengaruh besar kepada para pengikutnya.Kerana itu
dosa yang dikerjakannya kemungkinan besar akan diikuti pula oleh para
pengikutnya .Inilah yang menyebabkan dosa kecil tadi berubah menjadi dosa
besar.
Dalam sebuah hadis disebutkan: "Siapa menciptakan sunnah yang buruk, dia
menanggung dosa atas perbuatannya itu dan juga dosa orang lain yang meniru
melakukannya tanpa dikurangi dosa orang lain itu sedikit pun" Tetapi
sebagaimana berlipat gandanya dosa yang dilakukan oleh orang alim itu, maka
berlipat ganda pulalah kebaikan yang dibuat olehnya,apabila banyak orang
yang mengikut dan melanjutkan amal baiknya itu
Tuesday, October 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment