Sunday, October 18, 2009

KISAH LIMA PERKARA ANEH

KISAH LIMA PERKARA ANEH


Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur.
Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa
antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam
bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu,
pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok
engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala
ke barat. Engkau dikehendaki berbuat,

pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,

kedua; engkau sembunyikan,

ketiga; engkau terimalah,

keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang

kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju
ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit
besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata,
"Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh
aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat
untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu
mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu
pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa
sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan
sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan,
lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk
emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar
semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.

Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu.
" Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi
itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung
helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah
burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun
mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan
keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi
itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar
burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan
harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat,
iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk
menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk
mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan
kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan
burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian
dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun
bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan
hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi
ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata,
"Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang
diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,
"Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar
seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal
serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia
tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang,
maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu,
maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri
berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang).
Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan
dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja
berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat
kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi
tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita
ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan
pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti
ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak
pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya
pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata
tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang
kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri
kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang
walaupun ia benar

P/S

Apakah yang dikatakan mengumpat?

Mengumpat ialah kita bercerita di belakang seseorang itu

-walaupun betul dan dilakukan orang itu

-jika didengari pasti dia tak suka


Apakah fitnah?

Fitnah ialah kita mengata tentang seseorang di depan atau dibelakangnya perkara yang tidak benar


SEMOGA ALLAH SELAMATKAN KITA SEMUA

No comments:

Post a Comment